Rabu, 2 Februari 2011

Himpunan Kebangkitan Bersama Rakyat Mesir 4 Feb (Jumaat) ni !

Ikhwah dan akhawat sekelian,

(1) Suasana di Mesir masih belum ada tanda kesudahan. Pada ketika ini, ratusan ribu dan mungkin sudah mencecah jutaan rakyat Mesir daripada pelbagai latarbelakang, lelaki dan perempuan, tua dan muda, berhimpun di Tahrir Square dan di beberapa bandaraya lain seperti Iskandariah.  Himpunan yang dinamakan 'Perarakan Sejuta Rakyat' atau 'March of a million people' mendapat 'boost' dengan pendirian yang dibuat oleh Tentera Mesir iaitu mereka tidak akan menggunakan apa-apa kekerasan ke atas rakyat Mesir yang berhimpun, sebaliknya cuma mengawal keselamatan.

(2) Rakyat Mesir tidak hirau kepada tawaran dialog dan rundingan oleh kerajaan pimpinan Timbalan Presiden baru. Mereka juga tidak hirau kepada tawaran pakej ekonomi oleh Menteri Kewangan untuk membantu mengurangkan kadar pengangguran dan kenaikan harga barang. Apa yang mereka ingin ialah Husni Mubarak letak jawatan dan perlembagaan baru digubal untuk membuka ruang demokrasi.

(3) Gabungan pembangkang yang disertai oleh parti-parti pembangkang dan IM telah dengan jelas menolak tawaran Husni Mubarak dan konconya. Mereka hanya akan ke meja rundingan setelah Mubarak meletakkan jawatan. Ini kata Mohammed Al-Betagi, bekas Ahli Parlimen dari IM.

(4) Berapa lamakah Husni Mubarak boleh bertahan dan hingga bilakah rakyat Mesir boleh meneruskan demonstrasi menjadi soalan-soalan yang cuba dijawab oleh pelbagai penganalisis dan wartawan media. Menurut seorang wartawan Al-Jazeera, Mohamed El-Baradei memberikan tempoh hingga hari Jumaat 4 Februari 2011 ini untuk Mubarak berundur. 

(5) Satu lagi tolakan yang boleh membawa kepada pengunduran Mubarak ialah Amerika Syarikat. AS menolak pengumuman kabinet baru oleh Mubarak. Terkini, AS juga melalui Setiausaha Negaranya, Hillary Clinton, menggesa peralihan yang aman dan teratur kepada demokrasi yang lebih luas di Mesir (a peaceful, orderly transition to greater democracy). Pendirian ini menganjak sedikit daripada pendirian dan kenyataan sebelumnya oleh Presiden Obama yang menggesa Mubarak supaya melaksanakan inisiatif langkah-langkah konkrit ke arah pengembangan reformasi politik (concrete steps that advance political reforms). Perkataan 'peralihan' atau 'transition' menggambarkan isyarat polisi AS yang lebih keras ke atas Mubarak.

(6) Walau bagaimanapun, tolakan AS ini dilihat masih jatuh singkat daripada tuntutan rakyat Mesir dan masyarakat antarabangsa. AS masih mengelak daripada menuntut Mubarak letak jawatan! Mereka berada di persimpangan. Menolak Mubarak bermakna hilang sekutu di Timur Tengah. Menolak Mubarak bermakna menimbulkan masalah kepada Israel. Oleh itu, AS juga perlu didesak untuk ambil pendirian mendengar suara rakyat Mesir sebagai suara keramat dan tuntut Mubarak letak jawatan!

(7) Jom kita juga main peranan membantu saudara kita di Mesir. Kita seharusnya prihatin dan peka dengan nasib rakyat Mesir yang menuntut pengembalian perkara-perkara asas, hak-hak asas untuk mereka. Ini merupakan keperluan kehidupan yang tidak terhimpit dengan kemiskinan. Hak untuk hidup dengan aman tanpa ancaman dan ugutan. Hak untuk memilih wakil-wakil pemimpin dengan bebas dan adil. Permulaan untuk perubahan ini berlaku ialah dengan pengunduran Husni Mubarak.

(8) Oleh itu, demi kesatuan umat sejagat ke arah keadilan, kebenaran dan kesejahteraan, jom kita tunjukkan solidariti kita bersama rakyat Mesir. Sebagaimana yang telah dimaklumkan tempoh hari, jom gerakkan dan mobilisasi ahli-ahli ke satu program himpunan solidariti bersama rakyat Mesir pada hari Jumaat, 4 Februari ini di Masjid KLCC, Kuala Lumpur selepas solat Jumaat. InsyaAllah kali ini himpunan yang lebih besar dan akan berarak ke Kedutaan Amerika. Himpunan juga diharap akan disertai oleh pimpinan NGO, parti-parti politik dan rakyat Malaysia daripada pelbagai lapisan masyarakat tidak kira agama atau kaum.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan