Isnin, 30 Mei 2011

Remaja Pewaris Tamadun



Assalamaualaikum ikhwah dan akhawat sekalian,

Allah swt menciptakan manusia dengan sebaik-baik ciptaan dan menjadikan peringkat usia muda dalam hidup manusia sebagai sebaik-baik keadaan. Pada tempoh usia yang tersebut, manusia mengalami suatu zaman di persada kemuncak kekuatan mereka.

Pemuda adalah individu yang merupakan sebahagian dari masyarakat dan pemuda adalah salah satu individu pilihan yang :

  1. Paling banyak sumbangannya dalam masyarakat.
  2. Paling dinamik.
  3. Paling berpengetahuan.


Masyarakat mampu bangkit bersama gerakan pemuda dan masyarakat akan diam dan tertinggal jika para pemuda melalaikan kewajiban dan peranannya.


Imam Hasan Al Banna pernah berkata :

“Sesungguhnya sebuah pemikiran itu akan berhasil untuk diwujudkan apabila :

  1. Kuat rasa keyakinan kepadanya. (Iman) 
  2. Ikhlas dalam berjuang di jalannya. (Ikhlas)
  3. Semakin bersemangat dalam merealisasikannya. (Semangat) 
  4. Persiapan untuk beramal dan berkorban dalam mewujudkannya. (Amal)  

Keempat rukun ini iaitu  iman, ikhlas, semangat, dan amal merupakan karakter yang melekat pada diri Pemuda kerana sesungguhnya :

  1. Asas keimanan itu adalah nurani yang menyala.
  2. Asas keikhlasan adalah hati yang bertaqwa.
  3. Asas semangat adalah perasaan yang menggelora.
  4. Asas amal adalah kemahuan yang kuat.

Itu semua tidak terdapat kecuali pada diri para Pemuda.”

Ustaz Mustafa Thahan menjelaskan tentang kekuatan pemuda dalam beberapa sektor :
PERTAMA : SEKTOR PEMBEBASAN DAN KEMERDEKAAN
Pemuda adalah peribadi yang mempunyai kemampuan, tekad, keberanian dan kesabaran dalam menghadapi tentangan.  Melalui merekalah ummat mampu menghalau musuh dan mengangkat bendera kejayaannya.
KEDUA : SEKTOR PEMIKIRAN DAN PEMBENTUKAN
Pemuda adalah unsur kukuh yang mampu belajar dengan cekal, menguasai dan menghasilkan pemikiran serta pembaharuan. Ibarat ranting yang masih segar, kelenturannya cukup untuk terbentuknya pemikiran sekaligus mentransformasikan pemikiran tersebut kepada orang lain.
KETIGA : SEKTOR IMAN DAN AMAL
Iman yang pasif (diam) dan kehilangan sifat dinamik tidak ada harganya sedangkan keimanan pemuda sentiasa memunculkan tenaga tersembunyi yang besar dalam bentuk gerakan membina umat.
KEEMPAT : SEKTOR PERUBAHAN
Pemuda adalah pelopor dan wasilah perubahan. Allah swt tidak akan mengubah nasib suatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan jiwa mereka sendiri. Oleh kerana pemuda memiliki kekuatan jiwa yang besar, maka perubahan yang dilakukannya juga besar.

Selain memiliki kekuatan di atas, pemuda juga memiliki nilai-nilai strategik yang lain seperti :

  1. Memberi tanpa berpihak.
  2. Bersifat objektif dan berpendirian bebas.
  3. Kelompok yang sentiasa bekerja.
  4. Bermesyuarat tanpa sikap diktator.
  5. Bersifat sejagat.
Pada usia yang mudalah, seseorang itu berada di puncak kekuatan fizikal dan kecerdasan mental yang menyebabkan dia mampu melakukan pelbagai aktiviti yang tidak mampu dilakukan oleh golongan yang belum mencapai peringkat tersebut mahupun yang sudah melepasi peringkat tersebut.

Peringkat awal usia tersebut lebih dikenali dengan namanya yang manja iaitu, REMAJA.

Namun, isu remaja bukan setakat isu yang berkait dengan usia dan kemuncak kekuatan seseorang semata-mata, tetapi lebih dari itu, ia juga merangkumi satu isu yang lebih besar iaitu, isu tentang warisan sesuatu ketamadunan di mana golongan remajalah merupakan golongan pewaris sesebuah ketamadunan manusia di masa depan.

Dalam ertikata yang lain, walau sehebat mana sekalipun sesuatu tamadun itu mampu terbina, ianya boleh musnah dalam sekelip mata di masa hadapan, jika pewaris kepada ketamadunan tersebut merupakan golongan yang bermasalah.

Realiti menunjukkan bahwa golongan remaja merupakan rantai zaman yang amat penting dalam meneruskan kesinambungan sesuatu tamadun manusia untuk terus berkembang dan terus megah berdiri.

Namun, dari sudut realiti yang lain, khususnya di zaman ini, rata-rata tamadun manusia mengalami suatu krisis pewaris ketamadunan yang cukup membimbangkan. Dari timur hinggalah ke barat, tamadun manusia seolah-olah mengemis simpati agar golongan pewarisnya dapat memperbaiki keadaan diri mereka demi kebaikan yang lebih besar.

Jika sebahagian besar golongan remaja terjerumus ke dalam kancah kemusnahan, bagaimanakah kita mampu untuk mengimpikan sebuah tamadun yang lebih gemilang di masa hadapan. Hal ini bukan sahaja perlu disedari oleh golongan dewasa dan golongan tua, tetapi golongan remaja dan pemuda juga perlu menyedari hakikat ini.

Ini adalah kerana golongan muda dan remajalah yang akan menjadi penghuni kepada tamadun masa hadapan tersebut, namun :

  1. Adakah mereka impikan sebuah masyarakat di masa hadapan yang lebih parah berbanding masyarakat hari ini yang sudahpun kritikal?

  1. Adakah golongan remaja hari ini yang sibuk dengan urusan keseronokan peribadi (yang lebih dikenali dengan kehidupan yang “enjoy”), tidak pernah terfikir sejenak tentang hala-tuju masyarakatnya di masa hadapan?

  1. Adakah mereka turut merasa tertekan dengan kemelut dalam masyarakat, khususnya yang ditimbulkan oleh golongan remaja yang juga mengimpikan anak-anak mereka pada generasi yang akan datang hidup dalam kemelut yang lebih parah?

Golongan remajalah sebenarnya yang sepatutnya sangat sensitif dan pro-aktif berkenaan masalah remaja yang  berlaku di sekitar mereka kerana golongan remajalah yang bakal menjadi masyarakat di sekitar mereka di masa hadapan.

Jika setiap remaja melihat ke dalam fitrah diri mereka, niscaya mereka akan mendapati bahawa kekuatan mereka sebenarnya mampu membentuk suatu persekitaran remaja yang tersendiri dan mempunyai kekuatan identiti yang tersendiri.

KEKUATAN REMAJA PEREMPUAN

Jika golongan remaja perempuan melihat dan meneroka hati keperempuanan mereka, pasti mereka mendapati bahawa jiwa keibuan sebenarnya merupakan suatu jiwa yang amat dominan dalam diri mereka dan ruh jiwa keibuan tersebut ialah sifat “keprihatinan”.

Oleh yang demikian, jika seseorang gadis remaja dapat mengeluarkan sifat “keprihatinan” yang tersembunyi dalam dirinya dan meletakkannya sebagai sifat dominan dalam jiwa keremajaannya, sudah pasti “keprihatinan” tersebut akan menyebabkan dia ingin sekurang-kurangnya menjadi seorang gadis yang baik dan solehah demi untuk melahirkan generasi masa hadapan yang baik atau menjadi rumah yang terbaik bagi bakal anak-anak mereka.

Dengan semangat “keprihatinan” ini jugalah, seseorang gadis mampu mengubah corak kehidupan yang diwarnai dengan penuh noda-noda hitam (maksiat) dengan corak-corak pelangi yang indah dengan membudayakan kehidupan beragama.

KEKUATAN REMAJA LELAKI

Di sudut lain pula jika golongan remaja lelaki melihat sedalam-dalamnya ke dalam dirinya, pasti mereka dapat mengetuk fitrah kelelakian mereka dalam diri mereka, yang mewakili sifat “bertanggungjawab”.

Sifat “bertanggungjawab” merupakan suatu sifat yang amat berkesan dan dominan dalam jiwa para remaja lelaki kerana dari sifat tersebutlah wujudnya sifat-sifat kepimpinan yang lain.

Jika seseorang remaja lelaki menyemai sifat “bertanggungjawab” dalam jiwa keremajaan mereka, sudah tentu dia merasakan perlunya perubahan diri dari negatif kepada positif, demi membina sebuah masyarakat yang indah di masa hadapan, sesuai untuk dihuni oleh keluarganya di masa hadapan kelak.

Jiwa “bertanggungjawab” dalam diri seseorang remaja lelaki inilah sebenarnya merupakan simbol kematangan seseorang lelaki dan merupakan sifat yang paling dominan dalam menunjukkan kelelakian seseorang.

Oleh yang demikian, jika “keprihatinan” dalam naluri gadis-gadis remaja dan sifat “bertanggungjawab” dalam jiwa para pemuda disemai ke dalam jiwa keremajaan golongan remaja tersebut, maka sudah tentu akan melahirkan suatu gelombang “reformasi” sosial yang membawa kuasa arus perubahan yang tinggi.

Jika setiap remaja mampu merenungi dan menginsafi diri dengan memahami bahawa mereka bukanlah suatu kewujudan yang kecil dalam sesebuah masyarakat, bahkan, merekalah suatu kewujudan yang lebih besar maknanya dalam sesebuah masyarakat, nescaya golongan remaja sanggup melawan gelora nafsu yang memuncak yang merupakan suatu cabang kecil dalam kehidupan seseorang manusia dengan menjauhi segala yang dilarang oleh syariat Islam dan mematuhi seluruh ajaran Islam dengan sedaya-upaya dan mengutamakan maslahat umum yang lebih besar.

Jika seseorang memahami hakikat ini, sudah tentu ia tidak akan tergamak untuk bersikap ego di hadapan Allah swt dengan meninggalkan ajaran agamaNya. Dari sinilah timbulnya semangat untuk menghargai cinta Allah swt dengan mentaati segala perintahNya dan menjauhi segala laranganNya.

Setelah seseorang membudayakan agama dalam kehidupan mereka, Allah swt akan menambah nikmatNya kepada hambaNya tersebut dengan pelbagai nikmat-nikmat lain termasuklah nikmat yang besar dalam kehidupan, iaitulah nikmat kebahagiaan di dunia dan di akhirat.

Ingatlah bahawa, seseorang yang bahagia ialah apabila Allah swt menyayanginya dan dia juga menyayangi Allah swt. Dengan kesyukuranlah, Allah swt akan menambah nikmat seseorang.

Jadi, dalam amalan membudayakan agamalah, tersimpannya kebahagiaan hakiki yang tidak didapati oleh selain daripada golongan yang mengamalkan agama dalam kehidupan mereka.

Apabila seseorang remaja memahami realiti ini, maka pasti terdetik di hatinya untuk berubah dan mencapai kebahagiaan yang hakiki dengan membaiki hubungannya dengan Allah swt. Hanya sebuah kehidupan beridentitikan agama sahajalah yang dapat membaiki hubungan seseorang dengan Allah swt dan seterusnya mendapat nikmat kebahagiaan dariNya.



KERAPUHAN TULANG BELAKANG
Jika memang pemuda memiliki kekuatan yang luar biasa, persoalannya adalah kenapa sampai ke saat ini umat Islam tidak kunjung bangkit dari segala kelemahannya?
Jika seluruh umat Islam diibaratkan sebagai satu bentuk tubuh yang kukuh, maka pemuda adalah tulang belakangnya. Jika pemuda adalah tulang belakang kebangkitan Islam, apa yang akan berlaku kepada sebuah tubuh apabila tulang belakangnya retak, rapuh atau bahkan patah?
PERTAMA :
Ada di antara pemuda yang tumbuh dalam suasana bangsa yang sukar dan bergolak, di mana kesedaran akan kewujudan diri selaku muslim dan keinginan untuk membangkitkan umat ini telah begitu kuat tertanam dalam dirinya.
KEDUA :
Ada juga di antara para pemuda yang tumbuh dalam suasana bangsa yang bejat dan rosak  akhlak mereka di mana :
  1. Para pemimpinnya tidak mampu mensejahterakan rakyatnya.
  2. Ketimpangan sosial begitu menganga.
  3. Pengaruh barat telah merasuk hebat melalui gaya hidup hedonisma.
sehingga pemuda yang tumbuh dalam suasana ini, aktiviti mereka lebih banyak tertumpu kepada dirinya sendiri daripada umatnya, maka dia pun kemudiannya cenderung untuk hidup dalam suasana keseronokan dan main-main semata-mata untuk menenangkan hatinya, meskipun untuk sementara waktu.
Inilah yang dinamakan fenomena ‘Osteoporosis’ (kerapuhan tulang), di mana berlakunya proses penghancuran kekuatan pemuda sebagai tulang belakang kepada sebuah generasi.

REALITI YANG SEBENAR
Seandainya golongan remaja yang bijak dan prihatin tentang untung rugi nasib diri di masa hadapan dan menginsafi hakikat kewujudan diri yang merupakan natijah dari cinta Allah swt kepadanya, mereka pasti akan mengorak langkah dalam mengubah corak hidup mereka dengan mencorakkannya dengan agama Islam, kerana agama Islamlah merupakan sebaik-baik corak kehidupan.

Namun, jika kita bersikap sebaliknya, kecelaruan dan kekacauan golongan remaja sebenarnya merupakan pantulan dari kecelaruan masyarakat yang mereka huni itu sendiri. Mereka menjadi mangsa kecelaruan golongan dewasa yang mencorakkan segenap bidang kehidupan mereka meliputi politik, sosial, ekonomi dan sebagainya.

Hasil dari kepincangan dalam bidang politik yang diterajui oleh majoriti golongan dewasa menyebabkan golongan remaja hilang arah.

Ini kerana, kerapuhan golongan politik dan pemerintah dalam memantau aliran-aliran dan falsafah materialistik yang dibawa oleh barat ke dalam negara-negara Islam merupakan antara faktor utama kecelaruan dan kehancuran golongan muda.

Golongan dewasa sering melihat kecelaruan dan kekacauan masyarakat berpunca dari golongan remaja dan menyalahkan remaja dengan menuduh mereka bermasalah, padahal punca masalah sebenarnya ialah dari masyarakat itu sendiri di mana golongan remaja hanyalah merupakan cerminan bagi masyarakat. Seandainya memang sesuatu masyarakat tersebut sudah berpenyakit, maka golongan remaja juga akan berpenyakit, kerana cermin memantulkan imej realiti sesuatu.

Oleh yang demikian, golongan dewasa yang sibuk menyalahkan golongan remaja sebenarnya wajar dipersalahkan terlebih dahulu. Kalaulah sesuatu masyarakat itu baik, segenap bidang kehidupan tidak dicemari oleh idea-idea yang sekular, nescaya golongan remaja akan turut mengikut rentak masyarakat tersebut.

Perkara ini berbeza dengan realiti masyarakat hari ini yang mendewa-dewakan budaya hiburan yang melampau sehingga bercanggah dengan nilai-nilai ajaran Islam dan seterusnya mengundang remaja untuk turut sama dalam memper’tuhan’kan hiburan dan keseronokan berbentuk kebinatangan.

Zaman kini tidak ubah seperti hutan bangunan yang dihuni oleh ‘haiwan’ yang berakal tetapi lebih teruk dari haiwan yang tidak berakal yang hidup di dalam hutan belantara.

Oleh yang demikian, golongan remaja merupakan ‘mangsa kecelaruan’, BUKAN punca kecelaruan.’

Cuma, golongan remaja kelihatan menonjol kerana mereka mempunyai kekuatan yang tinggi dan menyebabkan kecelaruan yang mereka lakukan direalisasikan secara besar-besaran dan terang-terangan yang membawa kepada masalah yang lebih parah.

Remaja sudah hilang identiti sebagai seorang remaja Islam kerana masyarakat Islam sudah terlebih dahulu hilang identiti mereka.

Untuk mengubah golongan remaja secara berkesan, masyarakat terlebih dahulu perlu diubah, samada dalam sektor pemerintahan, pendidikan, sosial dan sebagainya dengan membudayakan Islam dalam segenap aspek tersebut.

RISALAH KASIH UNTUK REMAJA

Walaubagaimanapun, bagi golongan remaja yang sudahpun memiliki kesedaran untuk berubah dan membawa perubahan dalam lingkungan remaja, maka tidak perlulah mereka menunggu sehingga seluruh masyarakat dan sektor-sektornya diperbaiki terlebih dahulu.

Lakukanlah sedaya mampu, sebagai seorang remaja dalam skop yang lebih kecil iaitu dalam merealisasikan perubahan remaja ke arah kebaikan dan wujudkanlah masyarakat-masyarakat kecil yang boleh menjadi tempat bernaungnya remaja-remaja yang sudahpun mendapat kesedaran Islam untuk mempertahankan pegangan Islam mereka dalam kehidupan secara bersama-sama.

Oleh yang demikian, kewujudan-kewujudan kumpulan-kumpulan dan organisasi-organisasi Islam yang berteraskan ajaran Islam yang murni amat penting dalam membantu golongan remaja untuk berubah di samping menangkis arus perdana dalam masyarakat yang membawa budaya hutan seperti hiburan yang melampau dan rangsangan seksual yang melampau dari hiburan tersebut atas nama kemodenan.

Sementara untuk mencapai perubahan yang besar, ubahlah diri sendiri dan mereka yang berdekatan dengan kita dan bersabarlah dalam berpegang dengan amalan beragama dalam kehidupan dalam menongkah arus yang menolak amalan agama dalam kehidupan yang merupakan suatu arus dominan dalam masyarakat hari ini kerana di sebalik kesabaran itu semua, ada pahala dan ganjaran yang amat besar.

Ingatlah, remaja adalah harapan tamadun masa hadapan. Walaupun mereka merupakan mangsa kecelaruan tamadun hari ini, tetapi sanggupkah mereka meneruskan kecelaruan tamadun tersebut di masa hadapan, dan membiarkan keluarga dan zuriat mereka hidup dalam malapetaka ketamadunan tersebut?

Binalah individu yang baik dalam diri dan beragama demi melahirkan sebuah tamadun yang baik dan beragama untuk menjadi rumah bagi keluarga kita di masa hadapan.

Setiap orang mampu berperanan dan ingatlah sebagai seorang remaja, keremajaan ialah amanah, dan sesiapa yang tidak beramanah akan menerima hukuman.

Hidup ini sebenarnya ada keseronokannya, tetapi bukan pada meninggalkan ajaran agama, namun sebaliknya ianya ada pada pembudayaan agama dalam kehidupan seseorang.

BERFIKIR SECARA ‘GLOBAL’ DAN BERTINDAK SECARA ‘LOCAL’
Ketika kesedaran secara perlahan mulai menyelimuti hati kita, maka satu perkara yang mesti kita lakukan adalah : BERGERAK !!!
Ini adalah kerana sesungguhnya perubahan tidak akan pernah berlaku jika kita hanya DIAM.
  1. Perhatikan keadaan di sekitar kita di mana adakah layak kita sebutnya sebagai situasi yang Islamik?
  2. Benarkah pendidikan yang kita lalui ini adalah pendidikan yang sesuai dengan ruh Islam?
  3. Apakah pergaulan di dalam masyarakat kita mencerminkan semangat persaudaraan Islam?
Jika tidak, maka marilah kita segera menyusun kekuatan, menyokong persatuan dan gunakan wasilah-wasilah yang ada untuk memperbaikinya kerana memang remaja mampu ‘MENYERLAH JAUH DARIPADA BIASA.’
Ya Allah, berilah kekuatan kepada para remaja dan para pemuda kami dengan keimanan, keikhlasan, semangat waja dan pergorbanan dalam beramal sehingga mereka mampu mengadunkan sifat keprihatinan dan bertanggungjawab ke arah melahirkan suatu gelombang reformasi sosial berasaskan agama yang akan membawa kepada suatu perubahan yang menyeluruh dalam masyarakat.

Ameen Ya Rabbal Alameen

Wan Ahmad Sanadi Wan Ali
Pengerusi JK Tarbiah IKRAM Shah Alam

"UKHUWAH TERAS KEGEMILANGAN"
"IKRAM WADAH PERJUANGAN"

sumber:

http://www.facebook.com/note.php?note_id=210745375632452

Tiada ulasan:

Catat Ulasan